Saturday, March 21, 2009

CINDAI: Cinta - Nikmat ALLAH Yang Letaknya di Hati

UTM Skudai, 21 Mac 2009: Program sempena Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR '09), Seminar Cintaku Dari Illahi (CINDAI) telah diadakan di Dewan Seminar, Aras 4, CICT UTM Skudai pada pagi ini. Program ini yang berjaya menarik perhatian hampir 270 orang mahasiswa UTM bermula dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 pagi. Pada jam 9.00 pagi, penceramah yang dijemput khas dari Masjid Sultan Ismail (MSI), iaitu Ustaz Mohd Ismail Bin Mustari memulakan sesi pertama pembentangan kertas kerja bertajuk "Perkahwinan Semasa Belajar Antara Pro dan Kontra". Pembentangan kertas kerja bertambah menarik apabila penceramah menceritakan pengalaman beliau sendiri sebagai seorang mahasiswa yang berkahwin di alam pengajian ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.

Selepas minum pagi, sesi kedua pembentangan kertas kerja bermula pada pukul 11.30 pagi, didahului dengan sesi soal jawab antara peserta dengan penceramah. Pelbagai soalan menarik dilontarkan oleh para peserta yang ingin memahami lebih lanjut mengenai isu perkahwinan semasa belajar. Penceramah turut menerangkan fungsi hati sebagai magnet yang menarik rezeki, hidayah, keberkatan, ketenangan, kesihatan, syurga, neraka, sakit, bencana, di'ayah, rasa sayang dan juga rasa benci.

Para peserta yang hadir turut disajikan dengan persembahan video klip nasyid De'Hearty, "Permata Yang Dicari", di penghujung program. Pengarah MAHAR'09 merangkap pengarah CINDAI, saudara Mohd Affendi Bin Ismail, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peserta yang hadir dan mengharapkan maklum balas daripada para peserta bagi meningkatkan mutu program pada masa hadapan. Semua ahli jawatankuasa program CINDAI dan MAHAR menyatakan penghargaan kepada peserta yang menghadiri program dan berharap agar program seperti ini terus mendapat sambutan yang memberansangkan pada masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template