Sunday, June 14, 2009

Hidup Suatu Ujian

Oleh: Pengerusi JAKERS

Hidup merupakan suatu ujian oleh Allah kepada manusia yang mahu mengambil peringatan. Allah sentiasa menguji hamba yang dikasihi-Nya untuk meningkatkan tahap keimanan mereka. Samada ujian itu dalam bentuk kesenangan ataupun kesusahan. Allah berfirman dalam kitab al-Quran:


Terjemahannya:
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut ayat 2&3)

Realiti dalam kehidupan seharian kita, manusia tidak akan dapat dinilai prestasinya tanpa menempuhi ujian atau peperiksaan. Guru untuk menilai tahap kefahaman pelajarnya mereka diberikan ujian dan peperiksaan. Seorang majikan tidak akan dapat menilai tahap pencapaian pekerjanya sekiranya tidak memberikan ujian penilaian kepada mereka. Begitu juga kita sebagai hamba kepada Rabbul Jalil perlu melalui ujian dan penilaian sebelum dianggap lulus sebagai hamba Allah yang tinggi taqwanya.

Sebelum Allah mengurniakan kita nikmat, kita akan diuji dahulu. Sepertimana sabda junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

“Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Tuhan, maka dia pasti diberi ujian”.

Ujian yang dimaksudkan disini termasuklah dugaan, sakit, lapar, dahaga, kekurangan harta, kepayahan dan kegagalan dalam hidup. Allah telah menjanjikan pahala yang besar bagi hamba-Nya yang sabar dan tabah menghadapi dugaan yang menimpa.

Manusia merupakan makhluk yang lemah dan sentiasa lupa. Sebagai seorang yang pelupa kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sudah tentu kita akan dibalas dengan balasan yang maha dasyat diakhirat kelak jika kita berlaku sombong dan enggan memohon ampun daripada Allah diatas segala dosa yang telah kita lakukan. Bayangkan kalau kita hitung dosa-dosa yang kita lakukan setiap hari sudah tentu sudah tidak terhitung banyaknya.

Dosa-dosa yang banyak ini tidak mampu untuk kita tanggung, hanya dengan mengharapkan belas kasihan daripada Allah SWT untuk mengampunkannya. Atas sebab inilah Rasulullah SAW menganjurkan agar kita sentiasa beristighfar dan bermuhasabah memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala dosa yang telah kita lakukan.

Penghapusan dosa oleh Allah SWT melalui pelbagai bentuk termasuklah ditimpa ujian dalam kehidupan. Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Seorang mukmin tidak ditimpa penyakit yang berterusan, sama ada keletihan, kesakitan dan kesedihan sehingga boleh menggelisahkannya kecuali bagi menghapuskan segala dosa-dosanya.”

Oleh itu jadilah kita sebagai hamba yang sentiasa redha menerima segala mehnah dan tribulasi dalam kehidupan. Dalam perspektif kita sebagai seorang daei yang menyeru manusia kearah mentauhidkan Allah dan mengamalkan peraturan Allah sebagai cara hidup sudah pastilah lebih banyak dugaan dan cabaran yang akan kita hadapi. Sebagai persediaan untuk menghadapi semua cabaran ini maka persiapkanlah diri dengan memperbanyakkan amal ibadat. Moga-moga ia dapat menjadi penghibur dikala keseorangan.

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template