Showing posts with label Admin. Show all posts
Showing posts with label Admin. Show all posts

Monday, January 4, 2010

Hijrah: Mencari Titik Mula

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah swt kerana diberi lagi peluang untuk mengecapi nikmat untuk sekali lagi melihat saban tahun baru, yakni 2010 Masehi dan 1431 Hijrah. Saya juga bersyukur kerana masih dikekalkan oleh Allah dalam perjuangan ini untuk meneruskan usaha para nabi dan rasul dalam mengajak manusia mentauhidkan Allah dan meninggalkan taghut.

Setelah bertahun-tahun saya mencari ilmu di dada, masih belum cukup rasanya untuk diri ini mentarbiyahkan orang lain, malah diri sendiri juga masih banyak yang perlu diperbaiki. Tetapi, konsep pencarian ilmu bukan sahaja bermula di sekolah atau di kampus, malah ianya perlu bermula dari kekuatan mata hati dan akal fikiran. Berpegang juga pada hadis Nabi SAW yang mafhumnya berbunyi, "Sampaikanlah kepadaku walau satu ayat" saya menggagahkan diri ini menulis sedikit pesanan buat diri saya yang kerdil ini dan sahabat sekalian.

Faktor kelulusan sekalung ijazah dari sebuah universiti di mana-mana sekalipun, bukanlah penentu kejayaan seseorang insan. Jika hendak dibandingkan khalifah zaman dahulu dengan pemimpin zaman sekarang, bezanya mereka dahulu tidak perlu mencari kedudukan melalui satu pengiktirafan dari mana-mana institusi dan golongan, cuma mereka hanya mencari keredhaan Allah SWT. Adakah kita berjaya mencari titik mula kepada proses pencarian itu?

Ya, benar sekali. Tidak kira samada ianya bermula pada tahun-tahun lepas, ataupun jika anda mahu memulakan sekarang, tidak akan memberikan apa-apa hasil sekiranya anda tidak menjumpai titik permulaan yang sebenar-benarnya. Titik permulaan yang diberikan oleh Pencipta kita iaitu Allah SWT, di mana setiap insan diberi peluang itu sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Titik yang diberi nama sebagai "kelahiran".

Setiap insan pernah melalui satu episod di dalam kehidupan di mana hampir kesemua mereka tidak dapat mengingati bagaimanakah episod itu berlaku di dalam kehidupan mereka. Episod itulah yang dinamakan sebagai, hari lahir ataupun hari dimana kita dilahirkan ke dunia. Jadi, setelah kita melalui pelbagai jenis kesan episod di dalam hidup kita bertahun-tahun selepas itu, adakah kita boleh menerima sekali lagi peluang untuk dilahirkan semula menjadi insan yang suci dan bersih? Tidak ada manusia yang sempurna dan maksum selain dari para nabi dan rasul.

Jadi, saya berharap dan berdoa agar Allah SWT dapat menemukan saya dengan satu titik permulaan untuk mengubah nasib dan memberikan kekuatan kepada diri ini untuk menghadapi dugaan di dunia supaya berjaya di akhirat kelak. Setiap diri kita adalah pemimpin, maka jadikanlah diri kita ini seorang pemimpin yang adil dan berdiri kukuh di atas landasan yang tepat, ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.

Saya dengan ini menyeru diri sendiri dan rakan-rakan seperjuangan sekalian agar dapat memilih jalan yang lebih baik dan lurus, semoga dapat berjaya menjauhkan diri dari segala perkara yang lagha seperti kezaliman terhadap diri sendiri dan orang lain. Bertepatan dengan suasana hangat kampus sekarang menjelangnya pilihan raya kampus, saya berharap mahasiswa dapat membuat pilihan yang tepat bagi memilih pemimpin yang mampu menerajui kepimpinan mahasiswa pada masa hadapan. Janganlah menjadikan pilihan raya kampus ini sebagai medan untuk kita saling bermusuh-musuhan dan keji menkeji. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 11:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari mereka yang mengolok-olokkan itu, dan janganlah pula perempuan-perempuan mengolok-olokkan perempuan yang lain, kerana boleh jadi perempuan yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari perempuan yang mengolok-olokkan. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah fasik setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat maka dia tergolong dalam golongan yang zalim"

Oleh itu, marilah kita terus menerus menyokong dan mendokong konsep pembangunan ukhuwwah Islamiah yang mencana arus ketamadunan dan memperkayakan konsep persaudaraan sesama ummat. Sekian sahaja dari saya segala yang baik datang dari Allah Taala dan segala buruk itu jua datang dari Allah Taala tapi dizahirkan pada diri saya yang lemah ini. Sekian, terima kasih.

Nor Arizal Bin Ramli
Pengerusi,
Jabatan Kerohanian dan Sosial,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Teknologi Malaysia.

Kunjungi blog: http://arizalramli.blogspot.com
Baca Lagi...

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan


JAKERS MPPUTM mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia yang beragama Islam. Bersama-sama kita menggandakan amalan di bulan yang penuh barakah, shahru tarbiyyah.
Baca Lagi...

Friday, July 24, 2009

JAKERS Sokong Penuh UTM Say No To Bonceng

Jabatan Kerohanian dan Sosial Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia menyokong usaha Jawatankuasa Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng dan menyeru Badan-badan Kerohanian di UTM bersama-sama menyokong usaha ini.
Baca Lagi...

Tuesday, May 5, 2009

Selamat Bercuti

Baca Lagi...

Mahasiswa, Akhlak dan Kepentingannya

"Berikan aku 10 pemuda yang benar tegar fisikal dan mindanya, akan kugegarkan dunia dengan pemuda-pemuda ini". Kata-kata keramat bekas Presiden Indonesia, Pak Soekarno, yang sering diucapkan oleh sahabat pimpinan mahasiswa suatu ketika dulu terngiang-ngiang di telinga saya tatkala jari-jemari ini mula menekan papan kekunci komputer. Kata-kata yang menjadi refleksi kepada keteguhan jiwa anak muda ini merupakan antara pemangkin tindakan mahasiswa dewasa ini.

Mahasiswa merupakan golongan intelek yang tidak boleh tidak, memang akan berhadapan dengan masyarakat tidak kira sama ada semasa masih menuntut di universiti mahupun setelah keluar ke alam kerjaya nanti. Demi mendepani masyarakat, mahasiswa seharusnya mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan negara.

Rasulullah S.A.W sendiri didampingi oleh golongan syabab dalam menelusuri perjuangan dan mereka merupakan golongan intelligent yang berhati bersih dan berakhlak mulia. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang bakal mendampingi pemimpin-pemimpin di kalangan masyarakat di luar kelak? Malah, di dalam kampus sendiri, akhlak mahasiswa sering menjadi buah mulut sesama mahasiswa sendiri dan juga pihak pentadbiran. Akhlak mahasiswa yang saya lihat kini sudah kurang selari dengan peningkatan ilmu pengetahuan. Nilai adab dan tatasusila kian meruncing di kalangan mahasiswa terhadap lapisan masyarakat seperti pensyarah, ibubapa dan sahabat handai. Pengaruh hedonisme memburukkan lagi proses pembentukan nilai berasaskan budaya ketimuran dan akhlak Islamiyyah. Hedonisme nyata membawa pelbagai impak negatif kepada minda dan perilaku mahasiswa yang bakal berdiri seiring dengan pemimpin negara suatu hari nanti.

Saya khuatir sekiranya tiada langkah yang diambil untuk 're-engineering' imej mahasiswa bermula dari sekarang, graduan yang bakal keluar nanti akan terlibat dengan pelbagai masalah etika yang lain ketika berkecimpung di alam kerjaya kelak. Sebagai contoh, isu rasuah yang sememangnya sudah begitu hangat diperkatakan mungkin akan bertambah tenat jika tiada resolusi difikirkan bermula dari sekarang. Mahasiswa adalah golongan intelek yang sudah sedia tahu tentang etika, seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku setelah mendapat segulung ijazah dan kemudiannya berhadapan dengan dunia luar. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri contohnya, Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR’09) yang baru sahaja berlalu merupakan antara titik mula kepada jalan-jalan lain untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa UTM.

Dalam membentuk akhlak mahasiswa, para pensyarah juga tidak terkecuali memainkan peranan. Ciri-ciri akhlak terpuji hendaklah diamalkan di dalam kehidupan kerana mahasiswa melihat pensyarah sebagai role model yang layak dicontohi. Imam al-Ghazali telah memperincikan 10 peranan pelajar dan 8 peranan guru berhubung dengan adab kesopanan yang telah dihuraikan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Amat menarik untuk direnungi peranan guru yang kelapan seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali di dalam adab kesopanan iaitu; 'Guru harus mengamalkan sepanjang ilmunya. Jangan perkataannya membohongi perbuatannya. Kerana ilmu dilihat dengan mata hati dan amal dilihat dengan mata kepala. Yang mempunyai mata kepala lebih banyak.' (PM. Dr. Ishak Suliaman, API UM)

Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa yang bakal keluar dari kampus UTM ini nanti adalah mahasiswa yang tinggi nilai akhlaknya. Bagi memastikan perkara ini direalisasikan, tenaga bersama antara mahasiswa terutamanya, amat diperlukan supaya bergerak di dalam satu barisan untuk mengangkat kembali martabat tenaga mahasiswa yang disanjungi satu ketika dahulu. Ayuh bangun mahasiswa!

Timbalan Pengerusi
JAKERS MPP UTM 0809
Baca Lagi...

Thursday, April 16, 2009

Salam Imtihan

Amanat NC buat mahasiswa sempena peperiksaan akhir: Amanat NC
Baca Lagi...

Sunday, March 8, 2009

Rasulullah Pemimpin Agung Sepanjang Zaman

Tika Hati Mula Berbicara

Hari Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW kian hampir tidak berapa lama lagi. Seandainya ingin disingkap sejarah perjalanan baginda selama 63 tahun, sememangnya tidak akan mampu untuk menyeka air mata ini dari jatuh ke pipi mengenangkan pahit jerih perjuangan Kekasih Allah dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Iktibar yang paling bermakna dan menjadi panduan kita dalam menongkah sesebuah pentadbiran negara ketika mana baginda mentadbir dengan perlembagaan Syariat Islam di Kota Madinah selama 13 tahun.

Apa yang menarik perhatian saya tatkala membaca sebuah artikel di blog sahabat saya dimana penulis membuka sebuah rahsia pengiktirafan tokoh pemikir dunia terhadap ketokohan Nabi Muhammad SAW. Ketokohan baginda dapat dilihat dengan jelas kerana kesabaran baginda dalam memperjuangkan akidah mentauhidkan Allah sebagaimana para Nabi dan Rasul sebelumnya mendapat sokongan padu seluruh masyarakat arab permulaannya.

Penyebaran akidah mentauhidkan Allah bukan sahaja diterima oleh seluruh masyarakat sahaja, bahkan turut tersebar dan diterima diseluruh penjuru dunia. Sehinggakan para tokoh pemikir meletakkan Nabi Muhammad SAW di ranking yang pertama di dalam sebuah buku bertajuk '100 Tokoh Pemimpin Berpengaruh Di Dunia'. Walaupun pada hakikatnya mereka sekadar ingin mengetengahkan ketokohan hanya dari aspek kepimpinan bukan dari segi perjuangan baginda menyebarkan dakwah Islamiyah mentauhidkan Allah.


Jaulah Akhlakiah

Saban tahun pada tanggal 12 Rabi’ul Awal umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari kelahiran Junjungan Besar SAW ini dengan apa cara sekalipun. Bahkan seorang pemimpin Iran yang terkenal mengeluarkan kenyataan kepada seluruh umat Islam untuk menyambut minggu kelahiran baginda SAW pada 12 - 17 Rabi’ul Awal. Kenyataan beliau ini bagi mengelakkan perpecahan umat Islam kerana terdapat puak Syiah yang mendakwa hari kelahiran baginda SAW adalah pada 17 Rabi’ul Awal. Maka itulah penyelesaian bagi menyatukan umat Islam supaya terus mengagungkan Junjungan Besar SAW pada hari tersebut.

Selain hanya mengingati hari kelahiran Kekasih Allah, kita seharusnya menanamkan sikap cinta dan sayangkan Rasulullah SAW dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankannya. Kalau kita lihat sepanjang kehidupan baginda SAW, para sahabat RA merupakan golongan yang sentiasa taat, setia dan mempertahankan baginda SAW seandainya dicerca, diherdik apatah lagi disakiti oleh pihak kuffar laknatullah. Bahkan sampai ke tahap menggadaikan nyawa selain harta benda dan raga. Itulah sifat para sahabat yang perlu dicontohi dan menjadi ikutan kita supaya sanggup mempertaruhkan segalanya demi Rasulullah SAW.

Bersama kita hayati firman Allah SWT:

لقدكان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الآخر

Mafhumnya: Sesungguhnya pada Rasulullah SAW itu ada peri pekerti yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan redha Allah dan hari Akhirat.

Manakala dalam sebuah hadith sahih turut menerangkan perkara ini. Sabda Rasulullah SAW:

(إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق...( الحديث

Mafhumnya: Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak...
Beruntungnya Umat Nabi Muhammad SAW

Suka untuk saya mengingatkan diri saya dan seluruh para sahabat saudara seakidah untuk kita sama-sama memperbanyakkan selawat dan salam kepada Junjungan Besar SAW. Untuk menceritakan fadhilat amalan selawat ini, sudah diketahui umum. Cuma untuk menaikkan semangat cintakan Rasul Junjungan ini semoga dapat kita hayati sebuah mafhum hadith riwayat Tirmizi yang bermaksud: "Orang yang paling dekat denganku di akhirat kelak adalah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku."

Dalam riwayat yang lain juga ada menyatakan mafhumnya: Suatu ketika pernah Nabi SAW ditanya oleh seorang sahabat, "Siapakah orang yang paling bakhil ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "Orang yang bakhil adalah orang yang berat lidahnya untuk berselawat kepadaku."

Justeru itu apa lagi alasan untuk kita merasa malas untuk mencintai, mempertahankan baginda SAW dari sebarang kritikan dan tohmahan sedangkan bagindalah yang telah berhempas pulas dalam memastikan Islam tersebar di seluruh pelusuk dunia.

Contohi Rasulullah Laksanakan Tuntutan Islam

Kebanyakan pemimpin Islam di seluruh dunia mengharapkan kepimpinan di seluruh peringkat mencontohi Rasulullah SAW dalam semua sudut sebagaimana pembawakan baginda terus dari Allah untuk disampaikan kepada umat manusia. Pembawakan manifesto yang datangnya dari Allah di bawah naungan Islam yang indah sentiasa terarah dengan adil dan saksama tanpa diskriminasi. Bukan omongan kosong dan bukan janji-janji manis. Bahkan Islam yang dibawa oleh baginda juga merupakan sesuatu amanah dari Allah yang dipikul dengan sebaik-baiknya untuk diterima pakai oleh semua umat manusia dan jin.

Akan tetapi fenomena yang berlaku sekarang umat Islam lebih mementingkan habuan dunia, material dan diri sendiri. Tujuan asal mereka melaksanakan pentadbiran sesebuah negara yang diwar-warkan sebagai negara Islam akan tetapi hakikatnya mereka menjual agama untuk mendapatkan habuan dunia yang hanya sementara. Perkara seperti inilah yang perlu dibanteras dari akar umbinya lagi bagi menyediakan sebuah negara yang bebas dari korupsi untuk generasi yang akan datang.

Kepada sahabat-sahabat, seluruh saudara seakidah sedarilah hakikat perjuangan Rasulullah SAW dan nilailah terhadap sesebuah pemerintahan adakah berlandaskan kepada tuntutan Quran Sunnah ataupun sebaliknya. Janganlah kita mencampakkan diri kita ke dalam api neraka kerana bersekongkol dengan pakatan liberal, sekular dan pelbagai ideologi. Segalanya termaktub dalam sisipan kalam Allah, kitab pelengkap kitab-kitab terdahulu dengan akidah yang satu dan hala tuju yang sama iaitu mengesakan Allah.

PENGERUSI JAKERS MPP UTM
http://arizalramli.blogspot.com
Baca Lagi...

Saturday, March 7, 2009

Salam Maulidur Rasul

Baca Lagi...

Takziah Buat Keluarga Timbalan Presiden PMI UTM

07 Mac, Utm Skudai: Ayah kepada Mohamad Firdaus Bin Abd Rahman, Timbalan Presiden PMIUTM telah kembali ke rahmatullah pagi tadi . Sehubungan dengan itu, Lujnah Kebajikan PMIUTM hari ini telah melancarkan derma kilat diperingkat kampus untuk diberikan kepada Keluarga beliau.

Sesungguhnya, berita pagi tadi amat mengejutkan saudara Firdaus kerana baru beberapa hari yang lepas, beliau telah mengambil cuti selama seminggu untuk menemani ayahnya yang berada dalam keadaan tenat dan terlantar di Hospital kerana mengalami kerosakan pada buah pinggang. Setelah kesihatan Ayah beliau kelihatan kembali pulih sedikit, Beliau telah pulang semula ke kampus untuk meneruskan sesi pengajian di UTM. Namun Ajal dan Maut adalah ketentuan Ilahi yang tidak dapat dihalang.

Beliau yang kelihatan tenang menerima berita terebut Redha dengan ketentuan yang telah di tetapkan oleh Allah. Beliau telah bergegas pulang ke Kuala Krai, Kelantan pagi ini dengan menaiki kereta kancil dengan ditemani beberapa orang sahabat yang lain.

Seluruh warga PMIUTM mengucapkan Takziah kepada Saudara Mohd Firdaus Bin Abd Rahman. Diharapkan pemergian ayah beliau dapat dihadapi dengan tenang dan sabar. Semoga Roh Ayah beliau tergolong bersama orang-orang yang soleh...Amin. Al-Fatihah.

Sumber: PMI UTM
Baca Lagi...

Tuesday, February 10, 2009

KAMI


Sahabat Komuniti JAKERS:

MUHAMMAD MUTTAQIN BIN MOHAMMAD FADZIL (SAW)
NORHARIANTI BINTI ABU HASAN (SGS)
AIMI NADIA BINTI RAZAK (SCJ)
NORAINI BINTI ZAINAL ABIDIN (SGU)
NURULADILAH BINTI ABU SIN (SGT)
SITI AISYAH BINTI RAMLI (SCS)
KHAIRIL FIZRI BIN MOHD RAZALI (SAW)
ABDUL HAKAM BIN ABD. HAMID (SAW)
ABDUL HADI BIN MOHAMAD (SAW)
Baca Lagi...
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template